Permusafiran
Untuk coretan kali ini, saya memaparkan
kisah permusafiran dalam melihat keindahan alam. Ya, walaupun di dalam negara
atau luar negara, pasti ada keindahan-keindahan yang mengagumkan kita.
Namun, disebalik keindahan yang
mengagumkan itu, adakah kita menyaksikan kekuatan dan kekuasaan Allah SWT pada
ketika itu?
Baru-baru ini yang menjadikan saya
lebih “terpandang” dalam melihat keindahan ini, apabila kita bermusafir dengan
niat untuk mentadabbur alam. Dengan erti
kata yang lain, disebalik keindahan yang dijadikan itu, Allah SWT yang
menjadikan dan memantulkan kecantikan dan keindahan itu. Bersesuaian dengan sifat Jamal Allah.
Apabila kita “memandang” keindahan
penciptaan ini, bukan mata penglihatan sahaja yang mengakui penciptaan itu,
tetapi mata hati juga mengikuti dan selaras seterusnya tertunduk dan mengakui
kebesaran Allah SWT.
Dalam permusafiran baru-baru ini,
terlintas pada diri, maka benarlah kalam Allah SWT dalam al-Quran yang memberi
petunjuk bagi orang yang bertaqwa:
إِنَّمَا قَوۡلُنَا
لِشَيۡءٍ إِذَآ أَرَدۡنَٰهُ أَن نَّقُولَ لَهُۥ كُن فَيَكُونُ ٤٠
Sesungguhnya perkataan Kami kepada sesuatu apabila Kami
kehendaki, hanyalah Kami berkata kepadanya: Jadilah engkau!, maka menjadilah
ia.
Maka, dalam melihat keindahan alam, haruslah kita sentiasa melatih
diri kita bahawa di sebalik kejadian adanya Allah SWT yang bersifat berkuasa
atas sesuatu.